KEMAMAN: Sembilan pelajar sekolah menengah di daerah ini direman tiga hari sehingga lusa bagi membantu siasatan dakwaan memukul rakan sekolah mereka pada akhir bulan lalu.
Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki tersebut dibenarkan Hakim Wan Suhaila Mohd. di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sembilan pelajar berusia 15 hingga 18 tahun tersebut ditahan pada pukul 1.30 tengah hari semalam berikutan aduan dibuat mangsa berusia 14 tahun.
“Pelajar tingkatan dua itu mendakwa dia dipukul sekumpulan rakan sekolahnya pada 27 dan 28 Mei lalu. Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap mangsa masih menyimpan gambar seorang remaja perempuan yang didakwa kekasihnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, sebelum menjalin hubungan dengan suspek tersebut, remaja perempuan itu dikatakan bekas kekasih mangsa.
Beliau berkata, tindakan suspek utama bersama rakan-rakannya memukul mangsa beramai-ramai menyebabkan remaja lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan belakang badan.
“Siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
