KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas didakwa terjatuh ketika hendak dimandikan oleh pengasuh dalam kejadian di Puncak Alam, Selangor, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihak polis dimaklumkan berkenaan kejadian itu oleh pegawai perubatan Hospital Al-Sultan Abdullah pada pukul 10.42 malam.
“Pegawai perubatan melaporkan bayi itu dibawa ke zon merah jabatan kecemasan pada 7.23 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan menggunakan ambulans hospital dari sebuah klinik di Puncak Alam.
“Pengadu dan doktor pakar kecemasan telah memberikan rawatan pernafasan serta ubatan selama 22 minit namun bayi tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda bernafas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, ibu bayi tersebut memaklumkan dia menerima panggilan daripada pengasuh pada pukul 5.40 petang berhubung keadaan anaknya itu.
“Bayi itu terjatuh mengiring sebelah kanan dan dalam keadaan sesak nafas. Pengasuh telah bertindak membawa bayi tersebut ke sebuah klinik di Puncak Alam,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan laporan bedah siasat diperolehi. – MN
