KUALA LUMPUR: Seramai 279 warga asing digagalkan memasuki negara ini tanpa memenuhi syarat kemasukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memberitahu, mereka datang dari negara Bangladesh, Pakistan serta India, dan ia merupakan rekod harian tertinggi bagi kes tidak dibenarkan mendarat (NTL).
“Trend kemasukan warganegara asing secara tidak sah semakin meningkat, khususnya ketika waktu kemuncak ketibaan dan musim cuti umum di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
AKPS memaklumkan keadaan kesesakan dan aliran pelawat yang tinggi di KLIA sering dimanipulasi untuk menyusup masuk ke negara ini dengan menyalahgunakan kemudahan kemasukan yang tersedia.
“Pengusiran merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AKPS dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan, sekali gus memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan memenuhi semua syarat dibenarkan memasuki negara ini.
“Semua individu terbabit telah diarahkan pulang ke negara asal masing-masing serta-merta selepas proses dokumentasi dan semakan lanjut dijalankan oleh pegawai AKPS,” kata kenyataan itu lagi. – MN
