KUALA LUMPUR: Penyanyi Aina Abdul menyifatkan peluang merakamkan lagu tema Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Our Land Our Home sebagai pengalaman yang besar dan bermakna dalam perjalanan seninya.
Katanya, pengalaman bekerjasama dengan Datuk Mokhzani Ismail dan penulis lirik Rafiza Rahman memberikan banyak nilai tambah kepada perkembangan dirinya sebagai penyanyi.
“Saya hanya meminjamkan suara sahaja, tetapi saya rasa sangat berbesar hati dapat menyanyikan lagu hebat ini. Lagu ini dalam bahasa Inggeris dan ada cabaran dari segi sebutan dan notasi yang sangat terperinci,” katanya seperti dilapor Bernama.
Selain itu, penyanyi berusia 31 tahun itu turut mengakui pendekatan teknikal diterapkan dalam lagu berkenaan menuntut disiplin tinggi yang memerlukannya mengikuti notasi secara tepat.
“Kebiasaannya saya menyanyi mengikut rasa, tapi kali ini saya perlu ikut notasi satu per satu. Memang mencabar tetapi sangat mengajar saya untuk lebih teliti dan menghormati hasil kerja komposer,” katanya lagi.
Aina berkata proses menyampaikan lagu itu memberinya peluang untuk memahami dan menghayati tema sidang kemuncak ASEAN tahun ini yang memfokuskan pada penyatuan negara-negara ASEAN dengan lebih mendalam.
Penyanyi lagu Puas Sudah itu berkata menerusi lirik yang berbentuk penceritaan, beliau dapat mengenali pelbagai nilai murni dan keunikan budaya negara-negara ASEAN yang selama ini tidak diketahuinya.
“Lagu ini membuka mata saya untuk menghargai budaya dan keistimewaan negara-negara lain, bukan hanya Malaysia. Ia mengingatkan saya bahawa muzik mampu menyatukan kita tanpa mengira sempadan,” katanya.
Pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 itu berkata pengalaman merakam lagu tersebut turut mengubah perspektifnya terhadap peranan seni muzik dalam menyampaikan mesej dan membina perpaduan.
“Kita tak boleh pandang ringan kuasa muzik dalam menyatukan masyarakat. Lagu ini membuktikan bahawa muzik boleh merentasi sempadan dan menyampaikan mesej yang kuat, bukan hanya kepada rakyat Malaysia, tetapi juga kepada pendengar di negara-negara ASEAN lain,” katanya.
