KONGRES Nasional PKR yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor yang berakhir kelmarin memberi beberapa rmesej jelas kepada semua ahli parti tersebut, khususnya kepada barisan kepimpinan baharu.
Nyata laungan ‘reformasi’ dan ‘lawan tetap lawan’ yang menggamatkan dewan mampu memberi suntikan semangat kepada lebih 9,000 perwakilan dari 222 cabang dari seluruh negara.
Namun, laungan itu kurang ‘bermaya’, seakan-akan wujud ‘protes’ terhadap keputusan pemilihan kali ini.
Walaupun tewas, namun sorakan dan laungan ‘reformasi’ terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli lebih bersemangat apabila bekas Timbalan Presiden tersebut memasuki dewan kongres.
Bermula dengan keputusan di peringkat cabang yang menyaksikan kem yang dikaitkan dengan Rafizi ramai yang tewas, didakwa ‘kepala’ dipancung dan keputusan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) juga seakan-akan serupa.
Walaupun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tiada ‘cai’ dan mengundi kedua-dua kem Rafizi dan Nurrul Izzah, namun ramai yang mengaitkan kemenangan anak sulungnya sebagai nepotisme.
Persepsi itu harus ditangani dengan segera dan baik oleh kepimpinan parti, bukan sahaja kepada ahli, malah rakyat.
Andai tidak ditangani dengan baik ‘persepsi’ itu boleh membarah dan memberi kesan buruk terhadap tahap kepercayaan ahli parti, sekali gus berisiko menimbulkan perpecahan.
Malah, salah seorang Timbalan Ketua Wanita Cabang di sebuah negeri mengakui ‘persepsi’ bahawa keputusan pemilihan secara dalam talian itu ‘dimanipulasi’ dan dikaitkan dengan amalan nepotisme.
‘Walaupun keputusan diperoleh berdasarkan pengundian, namun kemenangan Nurul Izzah yang dinyatakan sebagai ‘anak papa’ seakan-akan sudah ‘ditentukan’ dan ‘dimanipulasi’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi pemimpin turut menzahirkan kebimbangannya akan wujud perpecahan dalam parti.
‘Perpecahan boleh berlaku lebih parah sekiranya Rafizi dan penyokongnya keluar parti. PKR harus tangani segera situasi ini jika ingin kekal kuat,” katanya.
Malah, isu itu adalah cabaran terbesar PKR untuk merapatkan dan mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan ahlinya.
Nurul Izzah juga harus berani keluar daripada ‘kepompong’ sebagai ‘anak papa’ dan menonjolkan ketokohan kepimpinan dengan gaya tersendiri dalam menarik sokongan dan kepercayaan ahli parti.
Ujian besar yang perlu dilaluinya adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka akan diadakan dalam masa tedekat.
Malah, dalam sesi penggulungan kongres kelmarin beliau meminta Presiden PKR berunding untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 13 kerusi dalam PRN Sabah nanti.
Bukan jumlah kerusi ditandingi menjadi ukuran, tetapi kemenangan yang diraih akan menjadi keutamaan.
Andai berjaya memenangi banyak kerusi, pasti gandingan Anwar-Nurul Izzah akan lebih mendapat sokongan padu ahli PKR.
Dan keputusan itu bakal menjadi ceminan sokongan dan keupayaan gandingan papa-anak tersebut menerajui PKR. – MN
