JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendesak parti mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau juga meminta parti menyemak semula aku janji ditandatangani Tengku Zafrul semasa menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia termasuk kemungkinan menuntut pampasan RM100 juta sekiranya tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU lalu, dikira sebagai lompat parti.
“Saya akan mendesak UMNO semak balik aku janji semasa Tengku Zafrul menjadi calon BN di PRU15. Apakah Zafrul boleh dituntut membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta kerana lompat parti?” katanya dalam Facebook.
Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga Ahli MKT UMNO menerusi satu kenyataan malam tadi, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti itu yang disertainya sejak 1997.
Disember lalu, Tengku Zafrul dilaporkan mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama PKR, namun masih tidak sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, menegaskan isu penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR akan dibangkitkan dalam mesyuarat MKT akan datang, sambil menggesa UMNO mengambil pendirian lebih keras terhadap tindakan itu.
“Saya pasti akan membangkitkan isu Tengku Zafrul mahu menyertai PKR dalam mesyuarat MKT akan datang,” katanya menegaskan UMNO tidak boleh hanya menyatakan kekesalan jika PKR menerima Zafrul, sebaliknya mesti menegur PKR secara terbuka.
“UMNO juga mesti menegur Presiden PKR jika permohonan Zafrul diterima. Tidak memadai dengan kenyataan UMNO rasa kesal. Mesti ada perbincangan awal secara sulit yang jadi punca Zafrul sertai PKR. Bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi,” katanya.
Beliau berkata, jika PKR menerima bekas pemimpin UMNO tanpa rundingan, ia boleh mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan akar umbi parti terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
“PKR mesti diberi amaran. Jika dibiar, tikam belakang akan berlaku lagi. Jangan salahkan UMNO jika ahli hilang kepercayaan terhadap PMX. Kerjasama Kerajaan Perpaduan akan rosak binasa,” katanya. – BH
