Saya rela tak ada jawatan daripada bekerjasama dengan DAP – Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI: Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya kekal diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, pendirian itu adalah sebahagian daripada ketetapan politik gabungan berkenaan di peringkat negeri.

“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sesekali akan bersama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Stadium Educity, Iskandar Puteri, hari ini.

Menurutnya, pelbagai dakwaan dan persepsi politik di media sosial perlu ditangani dengan fakta, termasuk fitnah yang mengaitkan kononnya “BN dan DAP akan bekerjasama” serta naratif bahawa kerajaan negeri tidak stabil.

“Rakyat Johor sudah matang. Mereka tahu menilai antara fitnah dan fakta,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menjelaskan PRN perlu diadakan lebih awal kerana faktor-faktor tertentu termasuk keadaan kalendar sosial dan ekonomi yang padat pada tahun hadapan, seperti musim perayaan, musim tengkujuh serta cabaran cuaca dan geopolitik global.

“Bulan puasa, Tahun Baru Cina, Aidilfitri, dan musim tengkujuh akan menjadikan tahun depan sangat mencabar untuk pengurusan pilihan raya. Ditambah pula ketidaktentuan geopolitik global, kita perlukan kestabilan lebih awal,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera BN agar memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi, khususnya dalam mendekati pengundi muda dan memastikan pencapaian kerajaan negeri dapat difahami rakyat.

Majlis perasmian jentera itu disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri pemimpin-pemimpin BN petang ini. – MAJESFIC

More From Author

DAP balas UMNO Johor tanding semua kerusi Negeri Sembilan

Gelombang biru bakal kembali, Johor jadi titik mula kebangkitan BN