KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak negara akan kemasukan empat lagi pemain warisan baharu.
Situasi ini sudah pasti disambut baik menjelang perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberitahu, pemain tersebut adalah Rodrigo Holgado, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo.
“Empat pemain itu telah beberapa hari menjalani sesi latihan bersama pasukan dan menunjukkan prestasi cukup membanggakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kemasukan mereka menjadikan Malaysia memiliki tujuh pemain warisan baharu bagi tahun ini.
Sebelum ini, FAM mendapatkan khidmat tiga pemain warisan iaitu pertahanan tengah Facundo Garces yang pernah bermain di liga utama Argentina, tonggak tengah kelab Portugal Portimonense SC, Hector Hevel dan pemain pertahanan kiri Gabriel Palmero yang mewakili kelab Sepanyol CD Tenerife B.
Malaysia dan Vietnam kini berkongsi kedudukan teratas Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 dengan tiga mata selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi pertama.
Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan F dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor pada Mac, manakala Vietnam menewaskan Laos 5-0 di laman sendiri.
