Dijel sebulan kerana curi RM16 tabung surau

Foto: Hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang penggali kubur dipenjara sebulan selepas didapati bersalah mencuri RM16 tabung surau di sebuah pusat beli-belah, di sini Isnin lalu.

Majlistret Johor Bahru, A. Shaarmini memerintahkan tertuduh, Nazarudin Mahmud, 45, yang masih bujang dihukum penjara bermula dari tarikh dia ditahan.

Dia didakwa mencuri wang tunai berkenaan dalam tabung surau tersebut dalam

bangunan Angsana Johor Bahru Mall, pukul 4.20 petang, Isnin lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan selepas perbuatannya itu dirakam kamera

litar tertutup (CCTV) di surau berkenaan.

Tertuduh didakwa mengorek tabung di surau berkenaan menggunakan pembaris besi yang turut ditemukan bersama wang tunai berkenaan ketika ditahan.

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Asyikin Shafiqah Atham Malik memohon agar hukuman ringan dikenakan terhadap tertuduh.

“Saya mohon agar hukuman ringan dikenakan ke atas tertuduh memandangkan ia adaah kesalahan pertama tertuduh selain pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

“Selain itu tertuduh yang mempunyai penyakit sawan hanya berpendapatan kira-kira RM1,500 selain terpaksa menanggung ibunya berusia 75 tahun,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Sharifuddin.- MAJESTIC

More From Author

Projek dihentikan serta-merta jika jadi punca banjir kilat – Jafni

Suspek curi lori hijau direman 3 hari