JOHOR BAHRU: Projek pembangunan yang dikenal pasti menjadi punca berlakunya banjir kilat di sesuatu kawasan akan dihentikan serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor menegaskan tindakan tersebut perlu diambil kerana terdapat pemaju atau kontraktor tidak mematuhi syarat ditetapkan sebelum melaksanakan projek.
“Kerajaan negeri memandang serius sikap segelintir pemaju dan kontraktor yang culas mematuhi syarat kelulusan projek pembangunan, terutamanya membabitkan pembinaan kolam takungan dan sistem saliran berpusat.
“Sebelum sebarang pembangunan dijalankan, pemaju sepatutnya membina kolam takungan dan menyedia sistem saliran mengikut garis panduan bersepadu yang ditetapkan.
“Namun isunya sekarang, mereka buat tak atau mereka buat kemudian. Masalah ini kerap berlaku apabila pemaju melantik kontraktor yang hanya mahu mengejar keuntungan dan mengejar masa untuk menyiapkan projek dengan cepat, sehingga mengetepikan syarat-syarat kritikal yang wajib dilaksanakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak berhubung banjir kilat di bandar raya ini di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.
Mohd. Jafni berkata, semua pemaju perumahan atau projek pembangunan lain di seluruh daerah ini akan dipanggil dalam masa terdekat bagi diberikan taklimat serta peringatan ketat berhubung isu berkenaan.
“Saya dah beritahu kepada Datuk Bandar Johor Bahru, kita kena panggil semua pemaju-pemaju yang ada dekat dalam Johor bahru ini untuk ditaklimatkan semula tentang isu-isu banjir ini, itu tindakan di peringkat PBT,” katanya.
Mohd Jafni memberi amaran keras bahawa tiada sebarang ruang kompromi atau rundingan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan hingga menyusahkan rakyat.
Beliau turut memberi contoh tindakan tegas yang pernah diambil di kawasan Iskandar Puteri baru-baru ini, apabila sebuah projek pembangunan diarahkan untuk berhenti operasi kerja berikutan insiden banjir lumpur.
“Kawasan itu selama ini tidak pernah banjir. Tiba-tiba berlaku banjir dan air kuning (lumpur) masuk ke kawasan taman perumahan berhampiran. Bila kita periksa, memang sah punca daripada projek pembangunan berkenaan.
“Sama juga baru-baru ini, kita hentikan 30 hari bagi projek di Taman Lestari di sini, untuk mereka buat kerja-kerja pembetulan.
“Selepas ini, kita tidak lagi sekadar beri nasihat dan ‘negotiate’, kalau nampak sahaja limpahan air tanah turun dan tiada projek lain di situ, kita akan terus ambil tindakan serta-merta,” tegasnya.- MAJESTIC
