MARANG: PAS bersedia menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi berkata, rundingan termasuk penggunaan lambang dan kerjasama dengan BN masih diteruskan, manakala parti itu sedia menimbangkan sama ada menggunakan lambang sendiri atau BN, bergantung kepada hasil rundingan.
“PAS belum membuat keputusan termasuk jumlah kerusi dan penggunaan lambang, rundingan masih diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Pada 23 September lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) diterajui PAS digantung mengikut Subseksyen 13 (2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), berkuat kuasa serta-merta susulan notis dikeluarkan pada 22 September lalu.
BN dilaporkan akan membincangkan keperluan penggunaan lambang dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan bersama akan dibuat dan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Diminta mengulas jika BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ia terpulang kepada parti itu.
Katanya, paling utama dan penting, parti berkenaan tewas pada PRN Melaka.
“Terpulang kepada BN, tetapi kita akan berusaha memastikan PH tewas pada PRN Melaka. Paling penting, Melaka diterajui pimpinan Islam dan Melayu,” katanya.
Abdul Hadi berkata, kebanyakan kepimpinan BN bersetuju berkerjasama dengan PAS – BH
