ISKANDAR PUTERI::Johor menghantar seramai 689 atlet ke Temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 dengan sasaran 45 pingat emas, 55 perak dan 43 gangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad. Shah berkata, kontinjen negeri itu turut disertai 150 jurulatih dan 48 pengurus pasukan yang akan menggalas cabaran dalam 379 acara membabitkan 37 jenis sukan.
Bagi Temasya Para Sukma XXII Selangor 2026 pula, Johor akan diwakili 110 atlet, dibantu 23 jurulatih dan 28 pegawai yang bertanding dalam 10 acara.
“Kontinjen Johor kali ini cukup besar dan kami mengimpikan untuk sekali lagi mencipta sejarah seperti yang dilakukan pada edisi 2022. Sasaran rasmi ialah 45 pingat emas, namun kami percaya dengan persiapan rapi yang telah dilakukan, Johor berpeluang menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik.
“Saya yakin kontinjen Johor berada pada landasan terbaik berdasarkan persiapan menyeluruh yang telah dilaksanakan oleh semua pihak. Saya menyeru seluruh atlet, jurulatih dan pegawai agar terus mengekalkan disiplin serta semangat juang, di samping membawa nama Johor dengan penuh kebanggaan di pentas Sukma dan Para Sukma,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Mohd. Hairi berkata, kerajaan negeri turut menyediakan insentif kemenangan kepada atlet sebagai penghargaan atas kejayaan mereka mengharumkan nama negeri.
Atlet individu yang memenangi pingat emas akan menerima ganjaran RM10,000, manakala pemenang pingat perak menerima RM2,000 dan gangsa RM1,000.
Bagi acara berpasukan katanya, pasukan yang dianggotai antara tiga hingga enam atlet akan menerima insentif RM9,000, manakala pasukan yang mempunyai tujuh atlet atau lebih layak menerima ganjaran RM8,500.
Temasya Sukma XXII Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, manakala Para Sukma XXII Selangor 2026 akan diadakan pada 5 hingga 10 September depan.- MAJESTIC
