ISKANDAR PUTERI: Johor melaksanakan sistem logistik halal sebagai usaha memastikan rantaian bekalan produk halal lebih terjamin dan selamat untuk pengguna, khususnya umat Islam di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd Khalid berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan umat Islam tentang percampuran produk halal dan tidak halal dalam rantaian penghantaran produk secara pukal.
“Pelaksanaan sistem ini merupakan sebahagian daripada Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 yang diumumkan pada 2025.
“Pengeluar, pengimport dan pengeksport yang mahu produk mereka diperakui halal dan memenuhi persijilan halal Malaysia diwajibkan menggunakan sistem logistik halal yang disediakan di Johor,” katanya menutup Konvensyen Logistik Halal Johor 2026, di sini hari ini.
Langkah itu merupakan antara hasrat kerajaan negeri untuk memastikan adanya sistem logistik halal yang dimulakan di Johor sebelum dipraktikkan di seluruh negara.
Katanya, tanggungjawab kerajaan negeri adalah memastikan mewujudkan sistem logistik halal dan kemudian kaedah itu diguna pakai semua pengeluar dan pengimport serta pengeksport.
Ujar beliau, maksudnya semua produk yang masuk ke Johor, pengeluar dan pengimport serta pengeksport mesti menggunakan logistik halal di negeri ini.
“Adakah ini satu benda yang mandatori? Ya. Kalau mereka nak kita perakui produk mereka sebagai halal dan baik dan kena dengan persijilan halal Malaysia, mereka mesti dan wajib guna logistik halal di Johor.
“Ia tidak memberi beban, bahkan memberikan tambahan keyakinan kepada pengguna. Bila pengguna yakin dengan produk anda, saya kira andalah yang sebenarnya lebih untung kerana permintaan kepada produk anda akan lebih bertambah kerana anda melepasi semua syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa halal bagi maksud logistik sebelum barang sampai kepada pengguna,” katanya.
Menurutnya, ekosistem logistik halal itu nanti merangkumi liputan yang luas dan tidak terhad di pelabuhan sahaja.
Jelas beliau lagi, ini juga membabitkan semua lapangan terbang dan semua stesen kereta api yang beroperasi merentas sempadan Johor.
Pihaknya turut berhasrat untuk bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh bagi menyelaraskan pembabitan pusat data di Johor serta memanfaatkan kelebihan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) demi menjayakan sistem logistik halal berkenaan.
Mengulas mengenai konvensyen itu, Mohd Fared berkata, semua resolusi yang dicapai akan diperhalusi oleh pihak Perbadanan Islam Johor (PIJ) Holdings dan Johor Halal Development Corporation (JHDC) sebelum dibawakan kepada pengetahuan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Tambah beliau, cadangan dan butiran dasar berkaitan juga penting bagi memperkemaskan perancangan Belanjawan Kerajaan Negeri yang dijangka dibentangkan pada Oktober ini, terutamanya bagi peruntukan halal menjelang 2027.- MAJESTIC
