DESARU : Desaru Coast sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai antara destinasi triatlon utama di rantau Asia Tenggara apabila bakal menganjurkan Festival Multisukan Desaru Coast 2026 pada 26 Julai ini.
Memasuki penganjuran edisi kelima, festival yang dianjurkan IRONMAN itu dijangka menarik lebih 1,200 peserta dari 60 negara, dengan kira-kira 60 peratus terdiri daripada atlet antarabangsa.
Pelbagai acara bakal dipertandingkan termasuk IRONMAN 70.3 Desaru Coast, perlumbaan 5150, Triatlon Pecut dan IRONKIDS yang menawarkan cabaran bagi pelbagai kategori umur serta tahap kemampuan.
Bagi acara Triatlon Pecut, peserta perlu melengkapkan 750 meter (m) renang, 20 kilometer (km) berbasikal dan larian sejauh 5km.
Perlumbaan 5150 pula merangkumi 1.5km renang, 40km berbasikal dan 10km larian, manakala IRONMAN 70.3 menampilkan cabaran lebih mencabar menerusi 1.9km renang, 90km berbasikal serta larian sejauh 21km.
Pengarah Operasi Asia IRONMAN, CG Lim berkata, gabungan kemudahan bertaraf dunia dan panorama pantai yang menarik menjadikan Desaru Coast lokasi ideal untuk menganjurkan acara sukan berprestij.
Menurutnya, festival itu bukan sahaja menjadi medan persaingan atlet, malah menawarkan pengalaman percutian yang sesuai dinikmati bersama keluarga.
“Desaru Coast menawarkan gabungan resort bertaraf dunia dan pantai yang indah, sekali gus menjadikannya destinasi ideal untuk atlet serta keluarga menikmati percutian hujung minggu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, IRONMAN 70.3 Desaru Coast sekali lagi dipilih sebagai salah satu lokasi kelayakan ke Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat tahun depan.
Sebanyak 50 slot kelayakan disediakan kepada peserta terbaik, melibatkan 25 tempat bagi kategori lelaki dan 25 lagi untuk kategori wanita.
Harapan Malaysia akan dipimpin Teh Kuok Yuen yang kembali menyertai perlumbaan selepas penampilan terakhirnya pada edisi pertama Desaru Coast pada 2022.
Atlet berkenaan pernah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan perlumbaan IRONMAN jarak penuh di Copenhagen, Denmark dengan catatan masa 8 jam 56 minit 42 saat, selain muncul peserta tempatan terpantas dalam IRONMAN 70.3 Desaru Coast 2022.
“Saya sentiasa seronok berlumba di Desaru kerana suasananya sangat sesuai untuk percutian hujung minggu. Selepas menyertai perlumbaan ini pada 2022, saya sentiasa mahu kembali untuk menguji kemampuan diri,” katanya.
Edisi kali ini turut disertai beberapa atlet elit antarabangsa seperti Assad Attamimi dan Jed Radbone dari Australia, selain wakil Singapura, Ling Er Choo.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One, Izrin Hashim berkata, festival tahun ini diperluaskan dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi memastikan pengunjung, keluarga dan komuniti setempat turut menikmati pengalaman sepanjang acara berlangsung.
Beliau berkata, penganjur mahu menjadikan bukan sekadar kejohanan sukan, sebaliknya sebuah festival yang mampu menghimpunkan semua lapisan masyarakat dalam suasana yang meriah. – MAJESTIC
