Kedai Emas Sri Semantan terus kembang perniagaan, buka cawangan ke-20

JOHOR BAHRU: Kedai Emas Sri Semantan (KESS) terus mengembangkan perniagaannya dengan membuka cawangan ke-20 di Kota Masai, Pasir Gudang, dekat sini.

Detik bersejarah perasmian cawangan terbaharu itu disempurnakan Pengerusi dan Pengasas KESS, Mohamad Hafizal Mahmood, kelmarin.

Perasmian cawangan itu, sekali gus menjadikannya cawangan kedua di Johor selepas Batu Pahat serta berfungsi sebagai Wisma Sri Semantan bagi wilayah Selatan yang meliputi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Keunikan KESS adalah dengan menawarkan emas preloved tanpa upah serta nilai tukar beli (trade-in) sehingga 100 peratus.

Nyata konsep dan strategi perniagaan itu terus menjadi pemacu pertumbuhan KESS hingga kini.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Saman berkata, konsep emas preloved yang ditawarkan syarikat menerima sambutan menggalakkan kerana memberi lebih nilai kepada pelanggan menerusi harga yang kompetitif.

Menurutnya, pelanggan kini semakin bijak membuat pilihan dengan mendapatkan emas pada harga terbaik selain menikmati kemudahan tukar beli yang lebih menguntungkan.

“Keunikan kami ialah memberi fokus kepada urus niaga emas preloved. Kami menawarkan nilai tukar beli sehingga 100 peratus, sekali gus memberi lebih manfaat kepada pelanggan setia.

“Sebab itu perkembangan Kedai Emas Sri Semantan berlaku begitu pantas sehingga berjaya membuka 20 cawangan di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pada Ahad.

Beliau menambah, permintaan terhadap emas juga kekal memberangsangkan walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan konflik di beberapa negara.

Katanya, prestasi jualan di semua cawangan masih berada pada tahap stabil, malah terdapat beberapa cawangan yang berjaya melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat berkata, pemilihan Pasir Gudang sebagai lokasi cawangan baharu dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik bagi memudahkan pelanggan dari Singapura mendapatkan perkhidmatan syarikat.

Menurutnya, sebelum ini pelanggan dari republik berkenaan hanya berurusan di cawangan Shah Alam dan Kajang.

“Dengan pembukaan cawangan di Pasir Gudang ini, urusan pelanggan kami dari Singapura menjadi lebih mudah. Lokasinya lebih dekat dan strategik, sekali gus dijangka mampu menarik lebih ramai pelanggan dari negara jiran itu,” katanya.

Sempena pembukaan cawangan berkenaan, KESS menawarkan potongan harga istimewa sebanyak RM20 bagi setiap gram untuk pembelian emas selama dua hari, selain terus menawarkan koleksi emas preloved tanpa caj upah sebagai tarikan kepada pelanggan. – MAJESTIC

More From Author

Harap DAP tangguh keluar kerajaan Melaka – PMX

Desaru Coast terus ungguli penganjuran triatlon bertaraf dunia