JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Dr. Maszlee Malik menyifatkan kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, satu-satunya kerusi dimenangi parti itu bukan untuk dibanggakan.
Sebaliknya, bekas Menteri Pendidikan itu menegaskan bahawa kejayaan tersebut adalah manifestasi kepercayaan yang harus dijunjung dengan penuh insaf.
Sambik mengucapkan terima kasih kepada pengundi DUN Puteri Wangsa yang memberi kepercayaan, beliau mengakui kemenangan itu adalah amanah besar baginya.
“Kemenangan ini adalah amanah yang sangat berat. Saya memohon doa daripada kalian semua, agar saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk memikul amanah ini, membela nasib rakyat Puteri Wangsa dan membawa suara keadilan di bumi Johor dengan sebaik-baiknya.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pimpinan, sahabat seperjuangan dan rakan-rakan, pasukan media saya dan kepada jentera serta keluarga,” tulisnya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.
Beliau memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,738 undi selepas berjaya meraih keseluruhan 41,694 undi.
Maszlee yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Simpang Renggam berjaya menewaskan pencabar dari Barisan Nasional, Teow Chia Ling yang memperoleh undi 35,956, calon Muda, Rashifah Al Junied (5,821), calon Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,389) dan calon bebas, Wang Wee Szoang (238).
Kerusi DUN Puteri Wangsa mempunyai 128,723 pengundi berdaftar dengan sebanyak 63,058 undi direkodkan setakat keputusan tidak rasmi itu.
Pada PRN Johor ke-15, kerusi DUN Puteri Wangsa disandang oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada Muda.- MAJESTIC
