JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa diserang dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk dilabel sebagai sombong dan ‘budak’ kerana ada pihak mahu menutup kelemahan akibat gagal menunaikan janji-janji pada pilihan raya lalu.
“Dijanjikan apabila (Pakatan Harapan) menang minyak akan turun. Sudah turun ke belum? Belum. Dia janji tol percuma. Sudah percuma ke belum? Belum. Apa lagi, dia janjikan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) tak perlu bayar. Sudah settle ke belum? Belum.
“Dia kata hapuskan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) harga barang akan turun. Dah turun ke belum? Belum. Harga barang naik. Dia perkenalkan SST (Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan).
“Kalau marah pun pada 11 Julai (hari undi PRN Johor) kita ajar mereka. Ini satu pengkhianatan kepada pengundi di Johor. Harapkan pegar, pegar makan padi. Itu hakikatnya,” katanya dalam Perjumpaan Masyarakat Daerah Kulai di Taman Manis, Kelapa Sawit di sini hari ini.

Turut hadir calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor; calon DUN Senai, Kiki Tai dan calon DUN Bukit Batu, R. Kumaran.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Bangsa Johor sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli tidak rela ditipu lagi.
Beliau mahu rakyat yang marah dengan dasar-dasar Persekutuan supaya meluah dan memberi ‘pengajaran’ kepada kerajaan Pusat pada hari pengundian Sabtu ini.
“PRN Johor tidak dapat mengubah kerajaan Persekutuan tapi kita ada peluang menghantar mesej kepada mereka (melalui PRN Johor) bahawa kita tidak bersetuju dengan dasar-dasar di sana yang menyusahkan rakyat,” ujarnya.
Beliau mahu BN mampu membuat kejutan Sabtu ini dengan mengekalkan kemenangan di DUN Bukit Permai serta merampas DUN Senai dan DUN Bukit Batu yang kalah tipis hanya majoriti 137 undi.
Justeru dalam katanya, dalam masa tiga hari berbaki kempen sebelum hari pengundian mahu ahli dan jentera BN akan terus berkempen dari rumah ke rumah dan santuni 100,000 pengundi walaupun usaha itu bukan senang dalam masa singkat
Pada masa sama Menteri Besar Johor mendakwa, kempen pengimbang dalam PRN Johor lebih suka menghasut dan menjanjikan bulan serta bintang.
Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, beliau berkata, ini adalah peluang untuk Bangsa Johor menghantar mesej menolak pihak yang hanya menabur janji manis pada pilihan raya lalu.
Beliau berkata, melihat suasana kempen di daerah ini BN percaya mampu untuk menang di kerusi DUN Bukit Batu dan DUN Senai.- MAJESTIC
