Anthony Loke Jangan Berpura-pura – Hairi Mad Shah

Saya mendengar kenyataan YB Anthony Loke semalam yang mengajak YAB Menteri Besar Johor menaiki DRT bersama-sama. Terus terang, saya sedikit tersenyum apabila mendengar pelawaan tersebut kerana ia seolah-olah menggambarkan seakan-akan sebelum ini tiada ruang diberikan dan seolah-olah selama ini Kerajaan Negeri yang menutup pintu kerjasama.

Sebelum ini, beliau turun meninjau dan melawat projek RTS Link bersama dengan jentera DAP, tidak sekali pun menjemput Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor.

Tetapi, semalam berpura-pura menunjukkan keterbukaan mempelawa Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor untuk duduk dan naik tren bersama, inilah sandiwara dan wayang politik yang cuba dimainkan.

Hakikatnya, banyak program dan lawatan rasmi yang melibatkan kementerian beliau di Johor sebelum ini tidak pernah melibatkan ataupun menjemput secara rasmi YAB Menteri Besar Johor mahupun wakil Kerajaan Negeri.

Justeru, apabila kini pelawaan dibuat secara terbuka kepada Kerajaan Negeri Johor, saya tertanya-tanya di manakah kejujuran dan konsistensi dalam usaha untuk benar-benar bekerjasama dan duduk semeja?

Saya ingin tegaskan, sepanjang tempoh pentadbiran ini, Kerajaan Negeri Johor tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai polemik politik. Malah, kami memilih untuk tidak mendedahkan atau memperbesarkan perkara-perkara seperti ini kepada umum kerana keutamaan kami adalah pembangunan negeri dan kebajikan rakyat khususnya Bangsa Johor.

Saya juga ingin mengingatkan bahawa landskap politik Johor mempunyai realiti tersendiri. Selepas Pilihan Raya Negeri Johor 2022, Barisan Nasional telah diberikan mandat yang jelas oleh rakyat dengan kemenangan 40 daripada 56 kerusi DUN. Kerajaan Negeri Johor dibentuk atas kekuatan dan mandat tersebut.

Sepanjang tempoh pentadbiran ini, tidak wujud sebarang bentuk perkongsian kuasa dalam pentadbiran negeri bersama DAP. Tiada pelantikan Ketua Kampung, Ahli Majlis mahupun jentera pentadbiran negeri daripada parti tersebut. Ini adalah fakta yang perlu difahami semua pihak.

Politik memang dinamik. Tetapi politik yang matang menuntut profesionalisme dan rasa hormat terhadap institusi serta kerajaan yang dipilih rakyat. Jika benar ikhlas mahu bekerjasama, gunakan saluran yang betul seperti jemputan rasmi, semangat saling menghormati, bukannya sekadar kenyataan terbuka yang lebih berbau retorik politik daripada keikhlasan.

Johor sentiasa mengamalkan budaya muafakat dan profesionalisme. Namun, biarlah kerjasama itu lahir daripada keikhlasan dan rasa hormat, bukan sekadar retorik politik untuk meraih perhatian.

YB Mohd Hairi Mad Shah

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia

EXCO Kerajaan Negeri Johor

More From Author

Lumba maut: Adik pemandu BMW bebas dengan jaminan polis

Saya terharu, lega jemputan ‘ikhlas’ Anthony Loke – Onn Hafiz