Dakwa dibuli, murid alami PTSD, hampir lumpuh gara-gara kerusi ditarik rakan

PADANG BESAR: Seorang murid perempuan berusia 12 tahun disahkan berdepan gangguan stres pascatrauma (PTSD) yang didakwa berpunca daripada perbuatan buli rakan sekolah.

Ibunya, Norasikin Hasin, 32, juga mendakwa kanak-kanak mesra dipanggil ‘kakak’ itu dalam keadaan hampir lumpuh akibat masalah pada otot dalaman badan akibat perbuatan berkenaan.

Kata wanita itu, anaknya yang tinggal di asrama sebuah sekolah rendah di sini, dipercayai menjadi mangsa buli fizikal dan mental sehingga terpaksa dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

“Kakak beritahu kemuncak kejadian buli apabila seorang pembuli menarik kerusi ketika dia mahu duduk di dalam kelas. Doktor yang melakukan ujian imbasan sinar-X di hospital mendapati tulang belakang kakak sedikit lari (bengkok) daripada kedudukan asal,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, masalah kesihatan anaknya mula disedari pada Februari lalu apabila kanak-kanak itu mengadu sakit belakang dan sikapnya berubah apabila bercuti di rumah.

“Saya sangka anak hanya sakit biasa, namun mula pelik kerana dia lebih banyak berbaring. Selama tiga hari dia tidur bermula jam 2 petang hingga 1 pagi keesokannya. Saya kejutkan untuk mandi dan makan tetapi dia menolak.

“Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa hari. Kemudian baru saya perasan terdapat lebam pada tubuhnya dan dia juga seperti menahan sakit di bahagian belakang badan,” katanya ketika ditemui.

Norasikin berkata, melihat keadaan itu, dia bersama suami, Muhamad Abdul Hadi Mohd Fauzi, 32, meminta anaknya menceritakan perkara sebenar sebelum kanak-kanak itu mendakwa sering dibuli tiga rakan sekelas dan dipaksa menyiapkan kerja sekolah mereka. – SUMBER BH

More From Author

PRN Johor 11 Julai, N. Sembilan 1 Ogos

Tanpa Sokongan DAP, BN Johor Mampu Dapat Undi Cina