Datuk direman rogol cucu 13 tahun

BATU PAHAT: Seorang warga emas direman enam hari bagi membantu siasatan kerana disyaki merogol cucunya yang berusia 13 tahun sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Polis sudah menahan suspek serta reman hari ini,” katanya.

Perintah reman ke atas suspek berusia 67 tahun itu dibenarkan Majistret Arun Noval Dass bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan laporan, polis menerima laporan mengenai kejadian itu dua hari lalu selepas mangsa menceritakan insiden tersebut kepada ibunya.

Siasatan awal mendapati, mangsa tinggal bersama-sama datuknya di sebuah rumah di daerah ini selepas ibu bapanya bercerai.

Namun, pada April lalu, ibu mangsa membawanya pulang ke sebuah negeri di utara tanah air dan kejadian itu terbongkar selepas ibunya menyedari mangsa menghantar mesej kepada seorang kenalan.

Pada mulanya, mangsa tidak menceritakan namun selepas didesak akhirnya dia memberitahu dirogol datuknya.

Daripada maklumat awal, kejadian berlaku sepanjang tahun lalu dan kali terakhir Disember lalu.

Terdahulu tular dalam video seorang wanita tidak dapat menahan kemarahan dengan menjerit sekuat hati terhadap seorang lelaki warga emas yang mengaku merogol cucunya di sebuah rumah di daerah ini sejak tahun lalu.

Pengakuan itu menyebabkan wanita dipercayai ibu mangsa meraung sambil menyebut ‘Allahuakbar’ selepas anak perempuannya berusia 13 tahun mendedahkan kejadian itu kepadanya beberapa hari lalu. – MAJESTIC

More From Author

SFZ FOREST CITY TERUS TERIMA REAKSI POSITIF SEBAGAI HAB KEWANGAN BERTARAF DUNIA

Tangki bahan kimia bocor