JOHOR BAHRU: Sebuah tangki mengandungi bahan kimia dalam kilang di Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini dikesan mengalami kebocoran hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan 1 Faisal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 11.59 pagi.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Sampai di tempat kejadian hasil penerimaan kes daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) didapati berlaku kebocoran bahan kimia di sebuah kilang Wilgreen Recovery Sdn Bhd.
“Terdapat satu unit tangki industri berkapasiti 200 liter yang bocor mengandungi bahan kimia spent inorganic acid (sw206),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak bomba bertindak menjalankan operasi bersama-sama JAS dan memantau keadaan di lokasi kejadian.
Sisa bahan kimia sudah dipindahkan ke sistem scrubber oleh pihak kilang bagi tujuan pengawalan.
Tambahnya, operasi masih dijalankan dan sudah membuat permohonan unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) untuk membantu di lokasi.- MAJESTIC
