Taktik gagal , rokok seludup bernilai lebih RM8.5 juta dirampas

JOHOR BAHRU: Taktik membuat pengikraran palsu gagal apabila Kastam Johor menyita sebuah kontena dipenuhi dengan lebih 9 juta batang rokok di kawasan Zon bebas, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri bulan lalu.

Pemeriksaan kira-kira jam 2.30 petang, 8 Mei lalu itu dilakukan atas maklumat risikan Cawangan Risikan Zon Selatan, sepasukan anggota Unit Kawalan Kontena (CCU), Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, berdasarkan semakan awal, kontena tersebut diikrarkan melalui borang Kastam No. 6, Manifest Transhipment sebagai membawa barang dagangan Base Paper Reels yang dipercayai dalam perjalanan dari Vietnam ke Liverpool, England.

“Hasil pemeriksaan mendapati jumlah rokok putih yang disita sebanyak 9,320,000 batang dengan anggaran nilai sebanyak RM2,143,600 manakala anggaran duti dan cukai terlibat RM6,365,000.

“Keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai adalah dianggarkan RM8,509,160,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan sindiket yang terlibat serta pemilik premis gudang berkenaan sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas dagangan bagi tujuan menyeludup rokok tak berkastam.

Jelasnya, kes disiasat bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat perakuan tidak benar di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh bagi kesalahan pertama denda tidak melebihi RM 500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.- MAJESTIC

More From Author

Kaut untung RM225,000 sebulan, sindiket bekal tenaga kerja asing haram tumpas

DUN Endau, Parlimen Mersing kekal kubu Bersatu – Azmin