JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor membongkar satu sindiket mengeksploitasi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan membekalkan tenaga kerja asing secara haram dalam dua serbuan di daerah ini bulan ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, sindiket itu dikesan menggunakan syarikat yang mempunyai kuota pekerja asing namun tidak menggunakan pekerja asing tersebut untuk perniagaaan didaftarkan.
“Sebaliknya sindiket ini menjual dan membekal pekerja asing yang mempunyai permit kerja PLKS kepada majikan lain dan mengaut keuntungan secara ‘atas angin’.
“Semuanya berjaya didedahkan dalam serbuan Ops Serkap yang dilakukan pada Khamis lalu dan semalam, seramai tujuh suspek termasuk dua ejen pekerja ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Modus operandi sindiket adalah dengan memohon kelulusan kuota pekerja asing bagi syarikat mereka, namun tenaga kerja tersebut tidak digunakan untuk perniagaan yang didaftarkan.
Dalam serbuan pertama, JIM Johor menyerbu sebuah pejabat agensi pengurusan pekerja asing di Pusat Perdagangan Pandan dan menahan seorang ejen lelaki warga Bangladesh berusia 33 tahun.
Turut dirampas katanya, 36 keping pasport warga Bangladesh dan India serta sitaan wang tunai berjumlah RM5,000.
Menurut Mohd Rusdi, suspek yang didapati tinggal lebih masa itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Dalam serbuan kedua, beliau berkata, operasi yang dijalankan di Taman Setia Tropika dan dua buah pangsapuri di Taman Kempas Utama berjaya menahan dua lagi ejen bersama-sama empat pekerja asing.
“Hasil maklumat awal, agensi ini dipercayai telah membekal sehingga 500 pekerja asing di sekitar negeri ini sejak sindiket haram itu beroperasi.
“Dalam serbuan sama, kita turut merampas 48 keping pasport Bangladesh, wang tunai RM4,300 serta menyita dua buah kenderaan milik sindiket,” katanya.
Menurutnya, dua ejen terbabit disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 manakala empat pekerja asing lain ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.
Beliau turut menggesa orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan sindiket atau aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang demi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.- MAJESTIC
