MUDA Jangan Politikkan Isu Pekerjaan Dengan Naratif Kosong

1. Saya bersama rakan-rakan dalam Pemuda BN Johor menolak dakwaan MUDA kononnya Kerajaan BN Johor gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat selepas empat tahun mentadbir negeri.

2. Dakwaan ini jelas tidak berpijak kepada fakta. Rekod menunjukkan Johor terus mencipta pekerjaan baharu secara konsisten, iaitu 15,226 pekerjaan baharu pada 2022, 17,814 pada 2023, 17,949 pada 2024 dan melonjak kepada 24,584 pekerjaan baharu pada 2025, peningkatan 37% berbanding 2024.

3. Angka ini membuktikan bahawa agenda pekerjaan di Johor bukan cerita bermusim menjelang PRN, tetapi hasil gerak kerja berterusan sejak BN diberi mandat mentadbir negeri.

4. Selain penciptaan pekerjaan baharu, inisiatif padanan kerja turut berjalan aktif melalui program-program JTDC. Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 sahaja, sekitar 8,500 calon telah berjaya ditempatkan dalam pekerjaan melalui inisiatif job matching JTDC.

5. Maka, tuduhan MUDA bahawa BN Johor gagal menyediakan peluang pekerjaan adalah tidak berasas, tidak matang dan sengaja menafikan usaha sebenar yang sedang berlaku di lapangan.

6. Pemuda BN Johor tidak menafikan masih ada cabaran seperti padanan kemahiran, gaji permulaan dan kebolehpasaran anak muda. Namun cabaran ini sedang ditangani melalui pelaburan baharu, kerjasama industri, pembangunan bakat dan inisiatif pekerjaan yang lebih tersusun.

7. MUDA sepatutnya membantu anak muda Johor mengakses peluang yang tersedia, bukan menjadikan isu pekerjaan sebagai modal politik. Johor perlukan penyelesaian berasaskan fakta, bukan persepsi kosong menjelang PRN.

Ts MOHD SYES MOHAMED

Ketua Penerangan Pemuda

UMNO Negeri Johor

9 Jun 2026

More From Author

Pejuang tanding bukan jadi alat pemecah undi – Nornekman

Pas-Bersatu kini sudah tidak bersatu