JOHOR BAHRU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya untuk menjadi alat pemecah undi dengan mewujudkan pertembungan banyak penjuru.
Ketua Pejuang Johor, Nornekman Osman berkata, setiap langkah dan keputusan politik diambil akan sentiasa berpaksikan kepada kepentingan rakyat serta masa depan negeri Johor yang lebih baik.
“Pejuang Johor menegaskan bahawa sebarang keputusan untuk menyertai PRN Johor akan dibuat secara teliti, berstrategi dan berasaskan kepentingan rakyat.
“Pejuang Johor tidak akan menyertai PRN sekiranya penyertaan tersebut hanya bertujuan menambah bilangan calon atau mewujudkan pertandingan banyak penjuru yang akhirnya memecahkan undi rakyat dan memberi kelebihan kepada pihak lawan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pejuang Johor berpandangan bahawa rakyat mahukan sebuah alternatif politik yang kukuh, bersatu dan mampu membawa perubahan yang bermakna.
Justeru katanya, pertandingan banyak penjuru tanpa kesepakatan jelas hanya akan melemahkan kekuatan pembangkang, mengurangkan keberkesanan suara rakyat serta menjejaskan peluang untuk membina kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan berintegriti.
Sebagai parti yang berteraskan prinsip perjuangan rakyat, Pejuang Johor sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik kepartian.
“Fokus perjuangan kami kekal kepada usaha menangani isu kos sara hidup yang semakin meningkat, memperkukuhkan ekonomi rakyat, meningkatkan peluang pekerjaan, memperjuangkan tadbir urus yang bersih serta memastikan ketelusan dalam pentadbiran dan pembiayaan politik,” katanya.
Pihaknya akan terus berbincang dengan pelbagai pihak yang mempunyai matlamat dan aspirasi sama dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Kami percaya rakyat Johor berhak mendapat wakil rakyat yang berwibawa, berintegriti, berani menyuarakan kebenaran dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.
“Politik bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk memastikan suara rakyat diterjemahkan kepada perubahan yang nyata,” katanya.
Sehingga kini Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) sudah menyatakan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) masih belum memutuskan jumlah kerusi yang akan ditandingi.- MAJESTIC
