Selangor bukan tandingan pasukan ACL Elite

Impian Selangor FC untuk mencipta sejarah menjulang Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) akhirnya berkecai apabila sekali lagi tumbang di tangan Buriram United dalam aksi final kedua di Stadium Chang Arena, Buriram.

Kekalahan 2-1 itu menyaksikan Red Giants tewas dengan agregat 3-1 selepas turut kecundang 1-0 pada aksi final pertama di Kelana Jaya minggu lalu.

Lebih memeritkan, kekalahan tersebut membuka mata ramai bahawa Selangor sebenarnya masih belum berada di tahap sebenar pasukan elit Asia. Buriram tampil seperti pasukan bertaraf ACL Elite yang lengkap dari segala sudut — intensiti, taktikal, disiplin dan mentaliti juara — manakala Selangor pula dilihat bergelut setiap kali diasak.

Walaupun anak buah Kim Pan-gon bermula garang dan sempat menghidupkan harapan menerusi jaringan Syahir Bashah, Buriram hanya memerlukan beberapa minit untuk “mengajar” Selangor tentang tahap sebenar bola sepak Asia. Suphanat Mueanta dan Theerathon Bunmathan dengan mudah merobek benteng Red Giants yang dilihat panik apabila ditekan.

Penyokong Selangor yang sebelum ini melaungkan keyakinan mahu menawan Asia Tenggara akhirnya terpaksa menerima hakikat pahit — dominasi dalam Liga Super Malaysia tidak bermaksud mampu bersaing dengan kelab yang sudah biasa bermain pada standard ACL Elite.

Buriram bukan sekadar menang, tetapi mendominasi kedua-dua final dengan corak permainan yang jauh lebih matang. Di Petaling Jaya, Selangor gagal memecahkan disiplin pertahanan lawan sebelum tewas 0-1. Di Thailand pula, Buriram mengawal permainan dengan tenang seolah-olah mereka sudah tahu Selangor tidak mampu memberi ancaman sebenar.

Pemerhati bola sepak serantau mula menyifatkan jurang antara kelab Thailand dan Malaysia kini semakin melebar. Buriram yang merupakan kelab regular ACL Elite jelas berada “beberapa level” di hadapan, sementara Selangor masih tercari-cari identiti apabila berdepan tekanan di pentas besar.

Kekalahan ini juga mengundang persoalan besar terhadap status bola sepak Malaysia yang sering mendabik dada mahu menjadi kuasa Asia Tenggara. Realitinya, apabila bertemu pasukan yang benar-benar terbiasa dengan tempo ACL Elite, Selangor kelihatan tenggelam dan gagal menandingi kualiti lawan.

Akhirnya, final ini bukan sekadar cerita Selangor kalah trofi. Ia menjadi simbol bahawa wakil Malaysia masih jauh untuk dianggap setaraf kelab elit Asia — dan Buriram United baru sahaja membuktikannya di atas padang.

Impian Selangor FC untuk menjulang kejuaraan Piala Shopee musnah selepas dibelasah penuh bergaya oleh Buriram United dalam aksi final yang jelas memperlihatkan jurang kualiti sebenar antara pasukan tempatan dan kelab elit Asia. – MAJESTIC

More From Author

Shoraka Perkukuh Ekosistem Kewangan Islam Digital Serantau