ISKANDAR PUTERI: Polis membongkar makmal haram pemprosesan dadah dan katrij vape bernilai RM16.4 juta dalam tiga serbuan di sekitar Skudai dan Johor Bahru utara pada 18 Mei lalu.
Dalam serbuan pukul 5.30 petang itu, pihak polis menahan empat dalang dan ahli kimia sindiket itu yang berusia 27 hingga 60 tahun.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, tangkapan itu melibatkan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing di Iskandar Puteri dan Johor Bahru utara.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis rumah kedai di Taman Melawati, Skudai yang dijadikan makmal dadah. Polis menahan seorang lelaki tempatan dua lelaki warga asing.

“Pemeriksaan lanjut dalam premis tersebut mendapati ianya disyaki beroperasi sebagai makmal haram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya merampas 17 tong disyaki berisi dadah jenis cecair methamphetamine dengan anggaran berat 91.28 liter bernilai RM13,692,000 selain satu plastik lut sinar mengandungi bahan kimia dengan berat 6.15 kilogram bernilai RM922,800.
Katanya, serbuan kedua dijalankan di sebuah rumah kedai di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai yang merupakan kediaman suspek pertama, kedua dan ketiga serta tempat pemprosesan katrij vape yang mengandungi dadah.
Pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik di rumah kedai tersebut katanya, berjaya merampas enam botol plastik dan 32 katrij disyaki dadah cecair jenis methamphetamine (3.48 liter) bernilai RM522,000.
Jelasnya, ini termasuk sembilan bekas disyaki mengandungi bahan kimia (8.46 kilogram) bernilai RM1,269,250; dua mesin, pelbagai peralatan dan bahan kimia yang digunakan sebagai cecair dalam katrij vape.
Beliau berkata, serbuan ketiga dijalankan di kawasan Taman Mutiara Emas, Skudai dan berjaya menangkap seorang lelaki tempatan iaitu dalang sindiket.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam rumah tersebut tidak menjumpai apa-apa barang salah. Suspek keempat dipercayai bertindak sebagai mastermind dan financier (pembiaya operasi).

“Suspek kedua dan ketiga pula berperanan sebagai ‘chemist’ yang bertanggungjawab dalam pemprosesan bahan kimia untuk dijadikan dadah. suspek pertama pula bertindak sebagai ‘runner’ sindiket,” katanya.
Chuan Huat memberitahu, keseluruhan rampasan sebanyak adalah sebanyak 94.76 liter cecair methamphetamine dan 14.61 kilogram bahan kimia dengan nilai anggaran RM16.40 juta.
Tambahnya, jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan anggaran seramai 120,649 penagih dan sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Januari lalu.
Modus operandi sindiket itu katanya, menggunakan premis rumah kedai sebagai makmal pemprosesan dadah dan tempat pemprosesan katrij vape sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Kes disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala dua suspek lagi negatif daripada sebarang dadah.
“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 Mei 2026. Pemeriksaan rekod kesalahan lampau dapati dua suspek memiliki rekod kesalahan melibatkan kes jenayah,” katanya.
Pihaknya turut merampas tiga buah kereta jenis Mercedes, Honda Accord dan Volkswagen selain wang tunai RM49,400 dan wang tunai Singapura dollar $9,770.
Nilai anggaran keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM16.58 juta dan tangkapan ini merupakan kejayaan terbesar di Johor dalam tahun ini setakat ini, katanya.- MAJESTIC
