Tiga pelajar ditahan curi duit tabung surau, miliki motosikal curi

ISKANDAR PUTERI: Tiga remaja lelaki berusia antara 13 hingga 15 tahun dicekup kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes kecurian wang derma tabung surau di sekitar Kangkar Pulai, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kecurian tersebut kelmarin.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Iskandar Puteri menjalankan operasi dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek antara pukul 11.10 malam hingga 11.41 malam tadi di kawasan Kangkar Pulai.

“Mereka yang ditahan berusia antara 13 hingga 15 tahun dan semuanya masih bersekolah. Hasil tangkapan tersebut, polis turut merampas dua tabung surau, sebuah motosikal dipercayai dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian wang tabung surau serta satu kes kecurian motosikal yang dilaporkan berlaku di kawasan Kangkar Pulai.

Katanya, semua remaja berkenaan kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 15 April ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dengan niat melakukan jenayah, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun selain boleh dikenakan denda dan sebatan.

Dalam pada itu, Kumarasan berkata, polis akan terus komited bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras aktiviti jenayah di daerah itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.- MAJESTIC

More From Author

Lelaki Vietnam didakwa simpan 1,022 hempedu, 191 lidah ular

Tangguh PRN Johor dan Melaka – Ahmad Maslan