Lelaki Vietnam didakwa simpan 1,022 hempedu, 191 lidah ular

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan 1,022 hempedu dan 191 lidah ular sawa, awal bulan ini.

Tertuduh, Hoang Van Thai, 39 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Madihah Zainol dalam bahasa Vietnam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan seribu 1,022 biji hempedu ular sawa dan 191 bahagian lidah ular sawa, yang merupakan hidupan liar dilindungi dibawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa lesen.

Kesalahan dilakukan di Taman Johor Jaya di sini pukul 9.50 malam pada 4 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(b) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 60(1) Akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kes dikendalikan Pegawai Undang-Undang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mas Izzaty Lokman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Mahkamah menetapkan 20 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengesahan status Orang Kena Tuduh (OKT) daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dan keputusan untuk pemberian jaminan.

Selasa lalu, portal ini melaporkan Perhilitan merampas pelbagai bahagian hidupan liar bernilai RM36.8 juta selepas menyerbu sebuah premis kediaman di Taman Johor Jaya di sini Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan 602 biji hempedu ular sawa, 420 biji hempedu beruang dan 107 ketulan mampat bahagian harimau.

Beliau memberitahu, ini termasuk 135 ketulan mampat bahagian primat dan 191 batang disyaki bahagian syawat ular sawa.

“Semua bahagian hidupan liar tersebut disita dan dibawa balik ke pejabat Jabatan Perhilitan Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya. Nilai sitaan semua barang kes dianggarkan RM36,842,325.00,” ujar Abdul Kadir.- MAJESTIC

More From Author

Lagi kes pemandu Singapura isi RON95, KPDN sita kereta

Tiga pelajar ditahan curi duit tabung surau, miliki motosikal curi