Gerakan Mahasiswa : Suara atau Provokasi Yang Dibiayai?

Tindakan sekumpulan mahasiswa mengganggu majlis menampilkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika berlangsungnya Wacana Ilmiah Perdana baru-baru ini mencetuskan perdebatan awam mengenai batas kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa.

Insiden itu bukan sahaja mencalar norma kesantunan dalam wacana akademik malah menimbulkan persoalan lebih besar mengenai peranan sebenar gerakan mahasiswa dalam konteks semasa.

Lebih teruk, ia dikhuatiri menjurus kepada perbuatan yang cenderung kepada melanggari undang-undang di negara kita.

Benar, sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi, kita bebas bersuara. Dan kebebasan itu sentiasa didokong oleh Kerajaan hari ini.

Tetapi, kebebasan itu ada had dan batasnya. Ia tidak mutlak. Tak perlulah dihuraikan topik kebebasan bersuara ini menurut perspektif undang-undang.

Tanyalah kepada mana-mana pengamal undang-undang, mereka pasti mempunyai pandangan yang sama. Jika ada yang kata sebaliknya, mungkin mereka tak tahu atau buat-buat tak tahu. Mahasiswa perlu tahu akan hakikat ini.

Secara tradisinya, mahasiswa dilihat sebagai kelompok intelektual yang berfungsi sebagai semak dan imbang (check and balance) selain bertindak sebagai kuasa ketiga (third force) dalam sistem demokrasi.

Namun perkembangan mutakhir menunjukkan sebahagian gerakan semakin cenderung kepada pendekatan konfrontasi dan provokasi yang melampaui batas rasional.

Tindakan menyerang individu atau institusi secara terbuka tanpa hujah berasaskan fakta bukan sahaja tidak membina pemikiran malah boleh menjejaskan kredibiliti gerakan itu sendiri.

Dalam hal ini, kebebasan bersuara sepatutnya perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab moral, etika serta kesedaran terhadap implikasi sosial. Bukannya dibuat secara semborono ibarat anjing menyalak bukit.

Sebagai mahasiswa yang sedang menuntut ilmu di puncak menara gading, suara anda perlulah mempunyai elemen intelektual. Dan tradisi intelektual menuntut setiap pandangan disampaikan secara tertib, berhujah serta berlandaskan fakta, bukannya secara emosi yang berpotensi mencetuskan ketegangan awam.

Kita tahu, gerakan mahasiswa seperti ini yang dilihat begitu terancang pasti didorong dengan modal wang ringgit yang bukannya sedikit.

Justeru, melihat apa yang berlaku, timbul persoalan yang perlu kita sama-sama rungkaikan, dari manakah sumber pembiayaan dan sumber kewangan untuk menjayakan ‘aktiviti’ mereka?

Penganjuran program berskala besar memerlukan kos yang signifikan. Bayangkan, satu siri jelajah mahasiswa di beberapa negeri boleh melibatkan perbelanjaan yang sudah pasti tidak mampu dibiayai oleh mahasiswa yang menganggap diri mereka sebagai gerakan sukarela. Itu adalah realiti sebenarnya.

Mana datangnya duit mereka untuk membiayai kos meliputi logistik perjalanan, penginapan, sewaan lokasi, sistem audio visual, bahan promosi serta pengurusan operasi?

Maka, aspek ketelusan kewangan wajar diberi perhatian serius. Gerakan seperti Mandiri yang difahamkan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai syarikat yang menguruskan acara pasti secara prinsipnya tertakluk kepada keperluan tadbir urus termasuk mereka perlu kemukakan laporan kewangan tahunan dan audit.

Adakah keperluan ini dipatuhi oleh mereka dan adakah ia didedahkan kepada umum? Kita semua perlu tahu kerana mahu tahu dari mana datangnya dana tersebut. Dan adakah penyumbang dana kepada oraganisasi mereka ini memberi restu kepada aktiviti-aktiviti seperti ini?

Apa pun, dalam konteks integriti, gerakan yang lantang menuntut akauntabiliti pihak lain sewajarnya terlebih dahulu memastikan amalan tadbir urus mereka sendiri berada pada tahap yang tinggi.

Tanpa ketelusan, kredibiliti gerakan mudah dipersoalkan sekali gus menjejaskan kepercayaan masyarakat.

Oleh itu, semua pihak perlu menilai semula peranan gerakan mahasiswa dalam kerangka yang lebih seimbang.

Kebebasan bersuara mesti disertai disiplin ilmu, tanggungjawab serta penghormatan terhadap ruang dialog yang beradab.

Institusi pengajian tinggi, pihak berkuasa dan masyarakat perlu berganding bahu memastikan budaya intelektual terus diperkasa dan diperkukuhkan.

Pada masa sama, elemen provokasi dan ekstremisme dalam aktivisme perlu ditangani secara berhemah agar tidak merosakkan fungsi asal gerakan mahasiswa sebagai agen perubahan.

Ingatlah, mahasiswa harus dibimbing kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan. Jangan pula nanti kita salahkan masa depan sedangkan kita sendiri yang merosakkan asasnya.

MOHD AINUDDIN ALIFF BIN SALEHUDEN
Penganalisis Isu Semasa

More From Author

Minyak petrol dan diesel naik lagi

24 PATI dicekup dalam serbuan di kedai makan, tayar