Dua remaja maut kereta langgar tembok konkrit

JOHOR BAHRU – Dua remaja maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki terbabas melanggar tembok konkrit di susur Kilometer 14, Lebuh Raya Iskandar Sultan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pukul 4.25 pagi membabitkan sebuah Perodua Ativa.

“Siasatan awal mendapati kereta itu dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun dengan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan serta seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di tempat duduk penumpang belakang.

“Kereta dinaiki semua warga tempatan dan merupakan kawan ini bergerak dari arah Johor Bahru menghala ke Tampoi.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok konkrit di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.

Penumpang belakang katanya, patah tangan kanan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Radin Ramlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966. – MalaysiaGazette

More From Author

Pemandu treler di reman 4 hari

Tak ‘perform’ tak payah tuntut – Anwar Ibrahim