Lelaki maut, kanak-kanak parah MPV langgar pembahagi jalan

TANGKAK: Seorang lelaki maut, manakala seorang kanak-kanak perempuan parah apabila kereta dinaiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 155, Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Kejadian tersebut yang berlaku di susur keluar Bukit Gambir menghala ke selatan mengorbankan Sufaad Aini, 46, yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khalid Mohd Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.42 petang.

Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 10 kilometer.

“Kemalangan tersebut melibatkan tiga mangsa dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza. Lelaki tersebut tersepit di bahagian kiri penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

“Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun cedera parah di bahagian dada manakala seorang wanita berusia 41 tahun yang memandu kenderaan itu terselamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan MPV berkenaan terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan.

Mohd Khalid berkata, mayat mangsa yang dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, operasi tersebut selesai pukul 6.23 petang.- MAJESTIC

More From Author

Subsidi dikurangkan 200 liter BUDI95 bermula bulan depan

Pengotor dipantau, 1,500 Smart CCTV dipasang di Greater JB