Pengotor dipantau, 1,500 Smart CCTV dipasang di Greater JB

JOHOR BAHRU: Penggunaan 1,500 Smart CCTV di kawasan Greater Johor Bahru (JB) akan dioptimumkan bagi meningkatkan pemantauan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerjasama dengan pihak SWCorp itu bagi memastikan kawasan bandar Johor sentiasa terpelihara dan tidak dicemari sampah sarap.

“Rakaman kamera litar tertutup itu boleh dijadikan bukti untuk mendakwa individu yang membuang sampah merata-rata ke mahkamah seterusnya dikenakan hukuman denda dan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM).

“Dalam kawasan Greater JB membabitkan kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dilengkapi 1,500 Smart CCTV.

“Kita akan membantu SWCorp memperkasakan pemantauan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam khususnya di kawasan tumpuan pelancong. Kita lihat tindakan hukuman PKM ini sebagai tindakan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan hukuman PKM di Kampung Senibong, Plentong, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad.

Seramai lima individu termasuk dua warganegara asing diperintahkan menjalani hukuman PKM antara empat hingga lapan jam selain denda antara RM500 hingga RM1,000.

Mohd Jafni berkata, sehingga kini, sebanyak 142 notis pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan di negeri ini atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam melibatkan 84 warga tempatan dan 58 warga asing.

Katanya, sebanyak tujuh kes sudah selesai didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda terkumpul sebanyak RM4,500 serta hukuman PKM.

“Kita sudah buat pelbagai inisiatif termasuk Kempen Johor Bersih yang dilancarkan pada Julai 2022 namun masih lagi terdapat mereka yang suka membuang sampah merata-rata dan mengotorkan kawasan-kawasan sekitar yang kita telah bersihkan.

“Jadi, kita amat menyokong tindakan perintah khidmat masyarakat ini, ia memberi mesej jelas bahawa kesalahan membuang sampah kecil termasuk puntung rokok tidak akan dipandang ringan,” ujarnya.- MAJESTIC

More From Author

Lelaki maut, kanak-kanak parah MPV langgar pembahagi jalan

Nelayan dikhuatiri lemas di Tanjung Leman