KLUANG: Seorang lelaki yang memandu lori dalam keadaan lalok dan berbahaya di Kilometer 15.5 hingga kilometer 16 di Jalan Simpang Renggam ke Renggam di sini kelmarin telah diberkas.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek yang berusia 35 tahun memandu sebuah lori jenis Hino menerusi satu rakaman video berdurasi 35 saat.
Menerusi rakaman itu, lori dipandu lelaki berkenaan cuba memotong sebuah kereta di garisan berkembar walaupun terdapat kenderaan dari arah bertentangan dan hampir menyebabkan kemalangan.
“Bertindak melalui maklumat dari rakaman itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pehabat Polis Daerah (IPD) Kluang berjaya mengesan dan menahan lelaki berkenaan semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Ujian saringan air kencing mendapati tangkapan positif dadah jenis methamphetamin.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan atas jalan raya secara melulu yang boleh membahayakan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.
Menurut Bahrin lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.- MAJESTIC
