KLUANG: Dua bersaudara maut akibat langgar lari di Kilometer 6, Jalan Kluang-Teck Wah Heng dekat Mengkibol di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan yang melibatkan motosikal Yamaha Y15ZR dinaiki dua mangsa tersebut dan kereta Proton Saga berlaku kira-kira pukul 1 pagi.
“Semasa kejadian penunggang, K Palany, 54, dan pemboncengnya, M Thanagaran, 36, dipercayai dalam perjalanan dari arah Kluang menuju ke arah Jalan Teck Wah Heng manakala kereta Proton Saga datang dari arah bertentangan.
“Apabila sampai ditempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki lorong laluan bertentangan sehingga menyebabkan berlaku pertembungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kejadian berkenaan, penunggang cedera parah di bahagian kepala dan terputus kaki kiri di bahagian betis manakala pembonceng di bahagian kepala dan badan, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Kedua-dua mangsa mempunyai hubungan saudara manakala pemandu tersebut iaitu seorang wanita tidak dapat dikesan dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian.
Bagaimanapun katanya, suspek, S Selvalatha, 36, ditahan ketika hadir membuat laporan kemalangan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pukul 12 tengah hari.
Suspek katanya, mendakwa bimbang dengan keselamatan diri menyebabkannya terpaksa melarikan diri dan meninggalkan kenderaan dipandunya di lokasi kejadian.
Katanya, suspek memaklumkan ketika kejadian dia yang bekerja di Singapura dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Taman Melodi di sini.
“Ujian air kencing mendapati tangkapan tidak terpengaruh dengan sebarang jenis dadah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- MAJESTIC
