KLUANG: Sajian ringkas namun menyelerakan menjadikan Dapur Wan Dolah di Taman Idaman di sini sebagai salah satu pilihan orang ramai untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini.
Menu yang disajikan dibawa khas dari Kelantan dan memberi pelbagai pilihan untuk dinikmati oleh orang ramai bersama keluarga dan kawan-kawan pasti akan menambat selera walaupun selepas hanya sekali merasainya.
Antara menu menarik di kedai yang diusahakan oleh pasangan anak beranak, Nora Abd Rahman, 41, dan anaknya Mohamad Aaron Mikhail Mohd Ridzuan, 22, adalah Nasi Aye Sepoho, Nasi Aye Cice, Nasi Kerabu Lemok Bakar dan Nasi Ike Singge.
Manakala menu pembasah tekak yang kebiasaanya menjadi pilihan orang ramai adalah air teh hijau berlemok dan teh beng madu apatah lagi jika dihidangkan dengan puding Caramel.
Mohamad Aaron berkata, kedai makan yang telah diusahakan sejak tahun 2021 itu sebelumnya hanya dijalankan secara kecil-kecilan di Food Court sebelum dikembangkan menjadi sebuah kedai menggunakan nama Dapur Wan Dolah (DWD).
Jelasnya, untuk bulan Ramadan, pihaknya memulakan perniagaan bermula pukul 3 petang hingga pukul 8 malam manakala pada hari-hari biasa akan bermula pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang setiap hari kecuali Sabtu.
Pihaknya turut menyediakan perkhidmatan menerima tempahan menggunakan penghantar makanan daripada pelbagai saluran yang ada di Kluang ini sebagai usaha memenuhi permintaan orang ramai yang tidak dapat datang makan di kedai.
“Untuk bulan Ramadan ini, orang ramai yang ingin makan bersama keluarga di kedai kami perlu membuat tempahan awal bagi membolehkan kami menyediakan makanan sebelum waktu berbuka puasa selain mengelakkan ketiadaan ruang makan.
“Ini kerana ada ketika permintaan melebihi meja makan yang disediakan di kedai ini dan keadaan itu memberikan masa kepada kami membuat penambahan meja sekiranya memerlukan,”katanya kepada Kosmo!.
Menurut Aaron lagi, walaupun menu yang disediakan ini seratus peratus menu Kelantan, pihaknya rasa bersyukur kerana diterima oleh orang Johor yang kebiasaanya lebih sinonim dengan Nasi Beriyani atau Asam Pedas.
“Orang ramai yang ingin membuat tempahan atau pesanan makanan boleh menghubungi kami di talian 016 791 6672,”katanya. – MAJESTIC
