JDT buat laporan polis, tak pernah jalin kerjasama dengan kelab resort

KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat laporan polis terhadap sebuah resort di Permas yang didakwa mempromosikan diri mereka sebagai rakan kongsi kelab terbabit.

Perkembangan itu dimaklumkan JDT menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Malah, JDT menegaskan bahawa juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu tidak pernah menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan resort terbabit.

“Satu laporan polis sudah dibuat semalam, manakala JDT juga sudah meminta Majlis Bandaraya Johor Bahru untuk menurunkan sepanduk berkaitan JDT di resort berkenaan sebanyak dua kali.

“Pihak polis turut merakamkan satu kenyataan susulan bagi laporan terdahulu yang dibuat berhubung penyalahgunaan

nama dan jenama JDT oleh sebuah akaun media sosial yang menyamar sebagai kedai dalam talian rasmi JDT,” menurut kenyataan kelab itu.

Sebelum ini, JDT memaklumkan mereka bekerjasama secara rapat dengan pihak berkuasa untuk menyekat penggunaan tidak sah logo dan nama kelab itu.

“JDT sedar akan penyalahgunaan logo berdaftar kelab dan nama tanpa kebenaran oleh pelbagai pihak. Ini termasuk dari kedai atas talian, resort, operator lawatan, syarikat bas, barangan kemas, barang dagangan tidak rasmi serta beberapa kedai atas talian yang menyatakan mereka adalah akaun rasmi kelab.

“JDT sebelum ini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk menurunkan iklan yang mengandungi logo JDT, membuat laporan polis dan menghubungi pihak yang menyalahgunakan logo dan nama kelab untuk tidak berbuat demikian. JDT juga akan memulakan perintah mahkamah terhadap mereka yang enggan bekerjasama,” katanya. – BH

More From Author

Segera muktamad terma, mekanisme konsep Rumah Bangsa

Jaga sekolah nyaris maut diserang gajah