JOHOR BAHRU: Seorang pegawai syariah dan peguam syarie ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM91,000 sebagai balasan mengeluarkan Perintah Pengesahan Hibah untuk tujuan pertukaran hak milik.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an telah ditahan berasingan semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM johor kira-kira jam 8 malam.
“Siasatan awal mempercayai kedua-dua suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2018.
“Kedua-dua suspek disyaki telah menerima wang rasuah secara tunai daripada 13 orang penerima hibah dengan setiap seorang kira-kira RM7,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – Majestic
