KULAI: Seorang pemuda maut apabila dua pacuan empat roda bertembung di Kilometer 48, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, arah Ayer Hitam di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian itu pada pukul 4 pagi tadi.
“Kemalangan tersebut melibatkan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu dan Mitsubishi Triton. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua pacuan empat roda itu yang berbeza arah haluan telah bertembung.
“Akibat kejadian tersebut seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun iaitu penumpang Isuzu disahkan meninggal dunia di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim kerana mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu Isuzu pula mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan pemandu Mitsubishi Triton masih dirawat di hospital yang sama.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa
011-26081008.
Tambahnya , mereka juga boleh datang ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai.- Majestic
