KLUANG: Seorang pesara pegawai bank kerugian sebanyak RM261,420 apabila wang simpanannya ‘hangus’ selepas melabur dalam pelaburan mata wang asing tidak wujud yang menjanjikan keuntungan tinggi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun mula tertarik dengan iklan penawaran dalam satu laman sesawang pada 15 Ogos lalu.
Katanya, iklan tersebut menawarkan keuntungan yang tinggi dan mangsa kemudian berhubung kononnya dengan ejen pelaburan tersebut.
“Mangsa seterusnya diminta untuk mendaftar akaun pelaburan melalui pautan yang diberikan.
“Antara 2 November hingga 23 Disember mangsa membuat pembayaran berjumlah RM261,420 ke dalam empat akaun yang berbeza secara berperingkat-peringkat.
“Mangsa kemudian mendapati bahawa terdapat keuntungan berjumlah RM500,000 dalam akaun pelaburan tersebut,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, mangsa kemudiannya diminta untuk membuat pembayaran bagi proses pengeluaran wang berkenaan tetapi lelaki berkenaan tidak membuat sebarang pembayaran.
Ujarnya, menyedari ditipu apabila tidak memperoleh wang sepertimana yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis dan disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-778 4222; direct line 07-778 4256; hotline 07-776 6822 atau tablet DCC 014-3656822. – Majestic
