JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dan wanita cedera dalam
kemalangan melibatkan sebuah bas dan tiga kereta di Kilometer 11 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, arah selatan di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya maklum kejadian tersebut selepas satu video mengenainya dimuat naik dalam satu Facebook.
“Berdasarkan hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku pukul 6.50 pagi. Bas berkenaan datang dari arah Skudai menuju ke pusat bandar yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun.
“Bas berkenaan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kereta Perodua Myvi 1.3 EZi yang berada di lorong yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Perodua Myvi 1.3 EZi itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun bersama-sama penumpang wanita tempatan juga berumur 42 tahun.
Jelasnya, akibat pelanggaran tersebut Perodua Myvi 1.3 EZi melanggar sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah kereta Volkswagen yang masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 42 dan 62 tahun.
Beliau memberitahu, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu dan penumpang Perodua Myvi 1.3 EZi luka ringan dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
“Pemandu bas dan pemandu Volkswagen tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat bawah Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59 ) kerana gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Tarmizi Omar 011-63664413.- Majestic
