JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan kompaun lebih RM1 4 juta sejak penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di pintu masuk sempadan Malaysia–Singapura bermula 1 Julai lalu hingga kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 4,634 saman daripada 65,039 kenderaan individu dan syarikat yang tidak berdaftar VEP.
Menurutnya, kesemua saman itu dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini termasuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
“Tindakan tegas diambil bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kewajipan pendaftaran VEP, khususnya membabitkan kenderaan asing.

“Bermula 15 November lalu, kenderaan syarikat yang masih gagal melengkapkan proses pendaftaran VEP akan dikenakan tindakan saman,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi khas penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI, di sini malam tadi.
Menurutnya, dalam tempoh 1 Julai hingga 20 November lalu, kutipan kompaun tertinggi direkodkan di BSI berjumlah RM595,200), diikuti KSAB (RM767,700) dan Taman Daya (RM27,300).
Beliau berkata, bagi tempoh 15 hingga 20 November lalu, sebanyak 159 saman dikeluarkan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang masih berstatus pradaftar atau gagal mematuhi syarat VEP.
Sementara itu, Jazmanie memberitahu, JPJ turut merekodkan peningkatan jumlah pemasangan tag RFID, dengan 345,238 tag dipasang setakat 20 November lalu.
“Daripada jumlah itu, 309,096 adalah kenderaan individu, manakala 36,142 membabitkan kenderaan syarikat.
“Tindakan penguatkuasaan meliputi kenderaan yang tiada VEP, tamat tempoh serta berstatus pradaftar.
“Pemilik atau pemandu yang dikenakan saman juga diwajibkan menjelaskan bayaran sebelum keluar dari Malaysia, selaras dengan peruntukan Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Majestic
