Bekas pemandu bas tertipu, rugi RM736,526

KLUANG: Seorang warga emas yang juga bekas pemandu bas di negara Singapura rugi RM736,526 selepas tertipu dengan skim pelaburan tidak wujud yang disertainya sejak September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, warga emas itu terjebak selepas menerima mesej melalui aplikasi WhatsApps daripada seorang individu tidak dikenalinya pada 10 Ogos lalu.

Katanya, terpedaya dengan janji akan menerima pulangan lumayan melalui pelaburan yang disertai, mangsa mula memasukkan wang selepas menyertainya dalam laman sesawang diberikan oleh individu berkenaan.

“Bermula 8 September hingga 6 September, mangsa telah memasukkan wang berjumlah
RM736,526 melalui lima akaun bank berbeza secara berperingkat.

“Hasil daripada pelaburan itu, mangsa telah mendapati dirinya memperolehi keuntungan sebanyak RM5,702,110.73 sebelum berhasrat untuk mengeluarkannya,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin lagi, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam selepas merasakan dirinya tertipu apabila diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan duit keuntungan pelaburan itu.

Ujarnya, mangsa enggan membuat pembayaran tambahan menyebabkannya tidak mendapat sebarang keuntungan manakala duit pelaburan tidak dipulangkan.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa rugi RM736,526 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat atau denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dan hendaklah menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan bagi mengelakkan ditipu,”katanya. – Majestic

More From Author

Belanjawan Johor 2026: Tertinggi dalam sejarah negeri

Pekerja Rapid maut nahas 3 kenderaan