ISKANDAR PUTERI: Johor muncul negeri pertama akan menubuhkan Majlis Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai hab AI terkemuka negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, majlis tersebut penting bagi menyelaras pelbagai inisiatif, dasar dan aktiviti berkaitan AI agar pelaksanaannya dapat digerakkan secara menyeluruh di bawah sebuah agensi.
“Majlis AI ini ditubuhkan untuk mendukung hasrat Tunku Mahkota Ismail yang mahu mewujudkan sebuah hab AI di negeri ini. Tanpa agensi yang khusus menguruskan hal tersebut, usaha ke arah itu sukar untuk digerakkan.
“Sebab itu Majlis AI Johor diwujudkan bagi memastikan perkembangan AI di negeri ini lebih terarah dan mendahului negeri-negeri lain,” katanya ditemui selepas pembentangan Belanjawan Johor 2026 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Aznan (Tanjung Surat – BN) berkata, keanggotaan Majlis AI Johor akan terdiri daripada wakil agensi kerajaan yang berkaitan dengan teknologi digital dan ICT serta pakar-pakar AI dari luar agensi kerajaan.
“Beberapa siri bengkel dan program kesedaran AI telah dijalankan bagi mempercepatkan pelaksanaan pelan tindakan AI negeri,” ujarnya.
Sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 mengumumkan penubuhan Majlis AI.
Itu merupakan antara inisiatif di bawah agenda Pengukuhan Struktur Jentera Pentadbiran Negeri dengan matlamat menjadikan Johor sebagai Hab Kecerdasan Buatan (AI) dan Data Serantau menjelang tahun 2030. – Majestic
