KUALA LUMPUR: Kumpulan Caliph Buskers meluahkan rasa kecewa apabila masih berdepan situasi ditawar bayaran rendah oleh penganjur acara, meskipun sudah sedekad bertapak dalam industri muzik tanah air.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, kumpulan yang dianggotai penyanyi dan pemuzik kelainan upaya itu mendedahkan ada pihak menawarkan bayaran serendah RM800 bagi satu persembahan iaitu jumlah yang disifatkan tidak setimpal dengan tenaga serta komitmen mereka.
“Kalau Caliph letak harga RM3,500 ke atas, biasanya memang akan ‘kena palau’ dengan penganjur. Dengan harga itu pun, bukan untuk seorang… Kami kongsi berlapan termasuk kru,” kongsi mereka.
Menurut kumpulan berkenaan, bayaran yang diterima perlu diagih sesama ahli dan kru selain menampung pelbagai kos lain seperti perjalanan, logistik serta penyelenggaraan peralatan muzik.
“Kita bukan datang nyanyi dua lagu saja. Bila penonton minta tambah, kami sambung ikut kesesuaian masa. Tapi bila tengok penganjur tawar RM800 untuk persembahan di Kedah, memang terasa juga,” kata mereka.
Tambah Caliph Buskers, mereka bukan sekadar datang dengan rakaman muzik latar atau ‘minus one’, sebaliknya membawa sendiri pelbagai instrumen dan melakukan persediaan penuh sebelum membuat persembahan.
“Kita angkut sendiri gitar, keyboard, bass… Kalau penganjur tak sediakan drum, kita cari drum. Dah sampai lokasi, kena pasang alat muzik, ‘soundcheck’ dan uji bunyi satu persatu untuk dapatkan hasil terbaik buat penonton,” jelas kumpulan itu.
Biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan kewangan, Caliph Buskers tetap memilih untuk terus berdiri dalam industri demi kecintaan terhadap muzik.
“Alhamdulillah, sudah 10 tahun bergelar anak seni. Hidup kami tak mewah macam orang sangka. Tak ada kondo, tak ada kereta mahal. Cuma dapatlah naik macam-macam jenis kereta sebab hari-hari naik Grab. Kejap Alza, kejap Bezza, untung sikit dapat Honda.
“Kami cukup-cukup makan, kadang-kadang pun sesak meminjam. Tapi syukur, rezeki masih ada dan kami masih di sini,” kata mereka. – BH
