KUALA LUMPUR: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus mendapat perhatian di Asia susulan prestasi cemerlangnya dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) ketika berdepan Shanghai Shenhua, minggu lalu.
Laman Facebook rasmi, AFC Champions League memuat naik video bantuan jaringan yang dihasilkan Arif Aiman dalam perlawanan berkenaan selain turut menganggap pemain berusia 23 tahun itu sebagai bintang masa depan.
Laman berkenaan turut menulis kapsyen “Arif Aiman memukau pertahanan lawan dan menghasilkan satu bantuan gol dalam satu lagi persembahan cemerlang” pada video berkenaan.
Arif Aiman melakukan dua bantuan jaringan dalam perlawanan itu yang mana kedua-duanya disudahkan oleh Jonathan Silva untuk membantu skuad Harimau Selatan meraih kemenangan 3-1.
Pengendali Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutskiy sebelum ini dilaporkan mengakui bahawa kelincahan dan kehebatan Arif Aiman menjadi pemusnah buat pasukannya apabila tewas dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu.
Sementara itu, Silva dan Oscar Arribas yang menjadi penyumbang satu lagi jaringan JDT ketika menewaskan Shanghai Shenhua terpilih dalam ‘Team of The Round’ bagi aksi ACLE minggu lalu. – BH
