Nelayan warga emas lemas, mayat ditemukan berhampiran sangkar ikan

PONTIAN: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari ketam ditemukan berhampiran Sangkar Pancing Barakah, Kukup di sini hari ini.

Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, mangsa Tan Swee Kuan, 65, ditemui pada pukul 4.20 petang.

“Mangsa ditemui oleh anggota Polis Marin yang melakukan rondaan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Kukup bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga.

“Adik kandung mangsa telah mengesahkan mayat yang dijumpai sebagai mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa dilaporkan turun ke laut dari Jeti Rambah pukul 1.30 petang semalam, namun gagal pulang sehingga pukul 7.15 malam.

Keadaan itu menyebabkan isterinya memaklumkan kejadian kepada abang ipar sebelum laporan polis dibuat.
Operasi SAR digerakkan dan bot nelayan miliknya ditemui di kawasan pokok bakau sekitar Pantai Rambah. – Majestic

More From Author

Naik motosikal dari utara, suami isteri orang ditangkap khalwat di hotel Kluang

‘Tiada maklumat Khairy sertai Jemaah Kabinet’ – Saifuddin