KLUANG: Pasangan kekasih bersatus suami dan isteri orang memberi alasan tidak berbuat apa-apa semasa ditangkap khalwat di sebuah bilik hotel di bandar ini dalam operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) awal pagi tadi.
Dalam operasi bermula pukul 11 tengah malam tadi hingga 3 pagi tadi, pasangan berkenaan dicekup ketika sedang bersekedudukan dalam bilik hotel.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, semasa diarahkan membuka pintu bilik, pasangan berkenaan enggan berbuat demikian sehingga penguat kuasa terpaksa mengambil kunci pendua daripada pihak hotel.
“Pintu diketuk lebih 15 minit tetapi tidak dibuka. Penguat kuasa mendapatkan kunci pendua di kaunter tetapi orang di dalam selak pintu dengan rantai.
“Pintu kemudiannya dibuka dari dalam.
Kelihatan satu pasangan berpakaian lengkap dalam keadaan gelabah. Mereka terus mengaku bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram tetapi tetap kata mereka tak buat salah,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan tersebut, pasangan itu adalah suami dan isteri orang berumur 50-an dan 40-an, mereka menaiki motosikal datang dari sebuah negeri di utara dengan alasan mahu jumpa seseorang di sini.
“Keadaan katil tidak berapa berselerak yang amat. Di sebelah bawah katil ada selimut yang dijadikan tilam dan sebiji bantal. Lelaki itu kata dia tidur di bawah manakala wanita di atas katil.
“Mereka mengaku tak buat apa-apa cuma tidur asing dan menyewa bilik berdua untuk jimat belanja,” jelas kenyataan itu lagi.
Wanita berkenaan mendakwa dalam proses penceraian kerana sudah tidak sehaluan dengan suaminya
Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.- Majestic
