BANGKOK: Kerajaan Thailand hari ini mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan negara jiran, Kemboja, susulan insiden letupan periuk api yang mencederakan dua anggotanya berhampiran sempadan.
Perjanjian itu, yang dimeterai di Kuala Lumpur pada akhir Oktober lalu dengan pemantauan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertujuan menamatkan permusuhan berpanjangan selepas pertempuran sempadan pada Julai yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 penduduk kedua-dua negara dipindahkan.
Tentera Diraja Thailand dalam satu kenyataan memaklumkan, letupan periuk api di wilayah Sisaket menyebabkan seorang anggota cedera parah di bahagian kaki, manakala seorang lagi mengalami sakit dada akibat tekanan letupan berkenaan.
Dalam pada itu, Jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat, berkata Bangkok akan menghentikan ‘tindakan susulan terhadap deklarasi bersama’, merujuk kepada perjanjian dengan Kemboja yang dimeterai di Kuala Lumpur pada akhir Oktober iaitu beberapa bulan selepas kedua pihak bersetuju mengadakan gencatan senjata.
Langkah seterusnya di bawah pelaksanaan perjanjian itu termasuk pembebasan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan di Thailand.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, pada sidang media berkata, ancaman keselamatan masih belum reda. – AFP
