KUALA LUMPUR: Meskipun ada kalanya pemilihan pemain skuad Harimau Malaya dipertikaikan penyokong, pengendalinya, Peter Cklamovski menegaskan hanya pemain yang benar-benar ‘sesuai’ akan membarisi skuad kebangsaan.
Tegasnya, beliau akan memanggil pemain yang disifatkan mampu untuk menggalas tanggungjawab diberikan di pentas antarabangsa memandangkan aksi antarabangsa memberikan satu dimensi dan cabaran yang berbeza kepada barisan pemain.
Katanya, pemilihan pemain dibuat selepas mengharungi beberapa ‘tapisan’ dan senarai akhir yang dimuktamadkan adalah kelompok pemain yang diperlukan dalam usaha mereka memburu kemenangan pada jendela antarabangsa kali ini.
“Berdasarkan semua proses yang dijalankan, perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh saya sebagai ketua jurulatih adalah mengenal pasti pemain yang dapat melaksanakan cara permainan dan intensiti yang kami mahukan di peringkat antarabangsa.
“Tuntutan untuk aksi antarabangsa yang kami inginkan adalah sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan liga domestik.
“Jadi tanggungjawab saya adalah untuk memilih pemain yang boleh merapatkan jurang itu dan mempersembahkan prestasi yang dapat membantu Malaysia mencapai kejayaan di peringkat global,” katanya. – BH
